Sunday, March 23, 2008

Gesa letak jawatan

Gesa letak jawatan
Oleh AHMAD NAZRI MOHAMAD



KUALA LUMPUR: Seramai 21 daripada 27 pemimpin tinggi Persekutuan Pengakap Malaysia mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr Shafie Salleh dan mendesak beliau meletak jawatan.

Usul undi tidak percaya itu digerakkan oleh kumpulan tujuh pemimpin pengakap yang digantung keanggotaan, diketuai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Kolonel Prof Datuk Dr Kamarudin Kachar.

Pada sidang media di sini, semalam, Kamarudin mendakwa Shafie menyalahgunakan kuasa apabila melantik tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (TKPPN), yang mencabul Peraturan-peraturan dalam Perlembagaan mengikut Akta Persekutuan Pengakap Malaysia (Akta Parlimen No 409). Menurutnya, jawatan TKPPN, yang didakwa tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan Pengakap Malaysia, diberi kepada Datuk Kaharudin Moomin, Shukor Mohsin dan Nasaruddin Shamsuddin.

Katanya, Shafie yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi turut menggantung beliau dan enam lagi Pesuruhjaya Kanan Pengakap tanpa sebab dan diberi peluang menunjukkan sebab secara sebelah pihak berkuat kuasa 17 Mac 2008.

Lima pemimpin yang disahkan digantung ialah Pesuruhjaya Wilayah Persekutuan, Mejar (B) Mohd Sallehuddin Ab Ghani; Pesuruhjaya Perak, Shahrudin Isa; Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (PKPPN) Perundangan, Wan Aminuddin Wan Daud; PKPPN Sumber Dewasa-Utara, Jauhar Mohd Yassin dan PKPPN Sumber Dewasa-Selatan, Radzwan Hussain.




Seorang lagi pemimpin belum menerima surat pengesahan tindakan penggantungan, walaupun sudah dimaklumkan melalui telefon.

Sehubungan itu, satu resolusi tidak percaya terhadap Shafie dikeluarkan oleh kumpulan tujuh pemimpin terbabit pada 3 Februari lalu yang berjaya mendapatkan tandatangan 21 daripada 27 pesuruhjaya negeri dan PKPPN.

Mengulas tindakan selanjutnya, Kamarudin berkata, pihaknya akan menghubungi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi menggantikan Shafie dengan Menteri Pelajaran atau Menteri Pengajian Tinggi.

“Buat permulaan, peguam kami (mewakili tujuh pemimpin digantung) akan menulis surat kepada Menteri Belia dan Sukan yang akan disisipkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Ditanya punca penggantungan keanggotaan itu, Kamarudin berkata, beliau percaya tindakan itu berpunca daripada bantahan yang dikemukakan mereka terhadap Shafie berhubung pelantikan tiga TKPPN.

Sementara itu, Shafie yang difahamkan ada di Melaka, semalam, tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan ulasan beliau berhubung isu undi tidak percaya berkenaan.

Bagaimanapun, Metro Ahad dimaklumkan, Shafie akan berbincang dan memutuskan perkara berkenaan dalam mesyuarat Exco yang dijangka diadakan pada akhir bulan ini

No comments: